Tuesday, April 20, 2010

Pujuklah Hatimu dengan penghayatan Asma Allah...

MENGUATKAN JIWA DENGAN BANTUAN YA AZIZ, YA QAWWIY, YA MATIN & YA BA'ITS

Ya Allah Ya Aziz yang Maha Perkasa, Ya Qawwiy yang Maha Kuat dan Ya Matin Ya Maha Teguh dan sempurna KekuatanMu, tiada yang lebih perkasa dan kuat melainkan Engkau Ya Allah. Diriku ini hanyalah hamba kepadaMu Ya Kholiq dan kerana itulah diri ini sentiasa merasa lemah dan tidak berdaya. HambaMu ini memohon kepadaMu Ya Aziz, Ya Qawwiy dan Ya Matin kekuatan jiwa untukku hadapi segala rintangan dan ujian hidup ini kerana dengan kekuatanMu sahajalah daku dapat mengatasi segala masalah dan kesulitan dalam hidup ini. Ya Allah Ya Ba'its Yang Maha Membakar Semangat, bakarkanlah semangatku untuk terus berusaha bagi menghadapi segala rintangan dan ujian. HambaMu ini sedar Ya Allah, engkau ingin menjadikan daku umpama berlian yang sangat bernilai dan berharga. Sesungguhnya Ya Allah daku sedar yang berlian itu dicipta dengan penuh tekanan yang amat dahsyat dan memakan masa yang lama sehingga terjadinya berlian yang sangat cantik dan berharga. Daku sedar proses tekanan dan ujian ini daku mesti lalui kerana Engkau Ya Rahman Ya Rahim ingin menaikkan martabatku hampir kepadaMu dan ianya mesti dilalui oleh setiap manusia yang hebat. daku yakin Engkau Ya Aziz tentu akan menguatkanku dan membangkitkan semangatku. Engkau Ya Wahhab Ya Maha Pemberi, Ya Mujib yang Maha mengkabulkan, kabulkanlah permintaan hambaMu yang dhaif dan lemah ini.


MENYERAHKAN DIRI KEPADA YA BAARI' UNTUK DIATURKAN AGENDA HIDUP


Ya Allah Ta Baari', sesungguhnya Engkau Yang Maha Mengatur Urusan manusia dan mengatur agenda makhlukMu. Aturan dan agendaMu Maha Hebat, tiada tolok bandingannya. HambaMu ini sedar yang daku hanya seorang hamba yang tidak mampu mengatur urusan dan agenda. Agendaku sering silap dan mempunyai pelbagai kelemahan. Oleh itu Ya Allah Ya Baari', hambaMu ini menyerahkan seluruh jiwa dan ragaku kepadaMu untuk Engkau aturkan dan aku rela mengikut agendaMu Ya Baari'. Perintahkanlah apa sahaja untukku lakukan, daku berazam untuk mengorbankan apa sahaja yang ada pada diriku ini demi mengikut perintahMu. Ya Allah Ya Haadi yang Maha Memberi Petunjuk, setelah Engaku aturkan agenda hidupku, berikan daku petunjuk apa yang harus daku lakukan bagi mengikuti agendaMu. Bantulah daku dengan kekuatanMu Ya Aziz, Ya qawwiy, Ya Matin agar daku merasa kuat dan bakarkanlah semangatku Ya Ba'its agar daku tidak merasa penat dan sentiasa bersemangat. Bantulah daku Ya Alim, Ya Hakim, Ya Rashid dengan ilmuMu agar daku mampu melaksanakan sesuatu agendaMu dengan penuh berilmu, berhimah dan cerdas.Bukalah juga bagiku segala pintu kemudahan dengan sifat Ya FatahMu, bantulah daku dengan sedikit rezekiMu Ya Razaq, kekayaanMu Ya Ghaniy dan sifat memberi kekayaan Ya Mughniy agar daku mampu melaksanakan semua tugas yang Engkau berikan dengan sebaik mungkin. Dan Ya Allah Ya Quddus Ya Jalil, sucikanlah jiwaku ini dari sebarang penyakit dari bisikan syaitan dan kecintaan kepada dunia dan manusia kerana ianya pasti akan mengganggu tugas yang sedang daku jalankan.



Wallahu'alam.

Kata-kata ini dipetik dari sebuah buku, BICARA HATI (DOA) DENGAN ALLAH YA SAMI' MELALUI PENGHAYATAN ASMA UL HUSNA hasil tulisan Prof Madya Wan Maseri bt Wan Mohd, merupakan salah seorang pensyarah di Universiti Malaysia Pahang.

No comments: